Bintang utama di buruj Belantik Belantik_(buruj)

Ada beberapa cara bintang diberi nama. Tiga bentuk nama yang popular dalam astronomi najam ialah nama khas tradisi Arab, sistem nombor Flamsteed, dan sistem aksara Yunani Bayer[2]. Kebanyakan nama Arab itu mengalami perubahan sebutan dan ortografi disebabkan pelat ahli astronomi Eropah ketika menukilkan atau menterjemahkan karya ahli astronomi Arab pada zaman pertengahan.

Bintang di bahu kiri Orion (mengikut pandangan orang Eropah, pemburu itu membelakangi Bumi) ialah Betelgeuse, daripada Yad al-Ǧawzaʾ (Bahasa Arab: يد الجوزاء‎) yang bermakna "tangan Jauza" atau secara salah tafsir huruf ʾIbṭ al-Ǧawzaʾ (Bahasa Arab: إبط الجوزاء‎) yang bermakna "ketiak Jauza" dalam bahasa Arab. Bagaimanapun, orang Arab purba melihatnya sebagai menghadapi Bumi yakni menganggap bintang ini sebagai ketiak kanan gergasi itu. Bintang ini juga dikenali sebagai Alpha (α) Orionis mengikut senarai Bayer tahun 1603 dan 1 Orionis mengikut senarai nombor Flamsteed tahun 1725.

Bintang di bahu kanan dipanggil al-Naǧīd (Bahasa Arab: النجيد‎), "penakluk", yang diterjemah ke Latin sebagai Bellatrix ("pahlwan wanita").

Rigel ialah bintang di kaki kanan Orion, singkatan daripada nama bahasa Arabnya Riǧl al-Ǧawzāʾ al-Yusraʾ (Bahasa Arab: رجل الجوزاء اليسرأ‎), "kaki kiri Jauza" yakni mengikut pandangan orang Arab. Bintang ini dikenali juga sebagai Beta (β) Orionis.

Bintang pelengkap segi empat tepat itu iaitu kaki kiri Orion dilambangkan oleh Saiph (al-Sayf (Bahasa Arab: السيف‎), "pedang") yakni hujung pedang Orion yang berjuntai di kaki kirinya. Bintang ini pernah dipanggil juga Riğl al-Ğawzāʾ al-Yamnaʾ (Bahasa Arab: رجل الجوزاء اليمنأ‎), "kaki kanan Jauza".

Bintang Tiga Beradik yang membentuk tali pinggang Orion, dari kanan ialah Mintaka (daripada al-Manṭaqah (Bahasa Arab: المنطقة‎), "tali pinggang"), Alnilam (daripada al-Niẓām (Bahasa Arab: النظام‎), "untaian (mutiara)", dan Alnitak (daripada al-Niṭāq (Bahasa Arab: النطاق‎), "bengkung". Di khatulistiwa, garisan lurus Bintang Tiga Beradik ini ke arah barat dikatakan menunjukkan arah kiblat. Di sekitar Alnitak, terdapat awan bintang yang menempatkan Nebula Kepala Kuda.

Tiga buah bintang berbentuk segi tiga di utara segi empat tepat itu terutamanya Meissa (daripada al-Maysān (Bahasa Arab: الميسان‎), "yang berarak") dan Heka (daripada al-Haqʿah (Bahasa Arab: الهقعة‎), "tompok putih") membentuk kepala Orion.

Pedang Orion dilambangkan oleh beberapa buah bintang berhampiran Alnilam. Di sinilah letaknya Nebula Belantik yang terkenal itu.

Beberapa buah bintang di kiri segi empat itu membentuk belantan yang dipegang dan diangkat tinggi oleh Orion untuk mempertahan dirinya dari serangan lembu yang diwakili buruj Taurus (Lembu Jantan). Sekumpulan bintang di kanannya pula melambangkan perisainya.

Rujukan

WikiPedia: Belantik_(buruj) http://160.114.99.91/astrojan/orion.htm http://museumvictoria.com.au/DiscoveryCentre/Infos... http://www.allthesky.com/constellations/orion/ http://www.constellation-guide.com/constellation-l... http://www.constellationsofwords.com/Constellation... http://blog.deepskycolors.com/archive/2010/10/22/o... http://www.ianridpath.com/startales/orion.htm http://old.orionsarm.com/galactography/views_of_Or... http://www.universetoday.com/100383/beautiful-astr... http://apod.nasa.gov/apod/ap101023.html